Sabtu, 01 Maret 2014

Salun BN tunjuk tindakan ala samseng kepada rakyat

Harakahdaily

Salmah Mat Husain, 14 Dis 2012
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melahirkan rasa dukacita di atas tindakan sekumpulan anggota parti Gerakan Negeri Sembilan yang mendapatkan khidmat pendandan rambut wanita di Kota Bharu sebagai usaha mencabar undang-undang Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).


Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (gambar) berkata, kerajaan negeri melahirkan rasa terkilan dengan tindakan yang amat tidak wajar itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sekumpulan anggota Gerakan Negeri Sembilan datang ke Kota Bharu dengan sengaja mendapatkan khidmat di salun pemilik wanita bukan Islam dengan tujuan untuk mencabar undang-undang MPKB yang telah berjalan sejak 21 tahun lalu.

Tindakan itu turut disiarkan oleh sebuah portal berita berbahasa Melayu, pagi kelmarin dengan menyiarkan rasa kecewa pemimpin Gerakan itu berikutan penguatkuasa MPKB-BRI tidak datang untuk mengambil sebarang tindakan terhadap mereka.

Bukan itu sahaja, mereka turut berkata akan datang lagi ke Kota Bharu dengan pasukan yang lebih besar.

Menurut Fadzli, pemimpin parti dari komponen BN yang memerintah negara Malaysia dengan sendirinya telah mengajar rakyat di negara ini berlagak samseng.

“Bagi kita tindakan itu bukan sahaja kebudak-budakan, mencabar undang-undang kerajaan negeri dan menunjukkan tindakan ala samseng kepada masyarakat di negara ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, dengan tindakan itu rakyat di negeri ini termasuk di luar dengan sendirinya dapat menilai tindakan yang tidak sihat itu berlaku di negeri ini oleh masyarakat luar Kelantan.

“Siapa sebenarnya yang wajar dipilih untuk menjadi idola pemimpin mereka, golongan samseng atau sebaliknya?” soal beliau.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar