Selasa, 18 Februari 2014

50 Spesis Burung Ditemui Di Wetland Putrajaya


Lebih 50 spesis burung direkodkan berada di kawasan Upper Bisa Wetland di Putrajaya dengan burung-burung air menjadi tarikan utama para pemerhati burung.

Kira-kira 12 spesis burung air telah ditemui di kawasan itu dan ratusan burung juga dilihat membuat sarang di atas pokok di kawasan itu pada musim bersarang iaitu dari bulan Jun hingga Disember.

Kawasan Upper Bisa cukup terkenal dalam kalangan pemerhati burung dan juga penggemar fotografi burung pelbagai spesis.

Menurut Tourism Malaysia dalam satu kenyataan media, antara enam spesis yang sering ditemui di bahagian Upper Bisa Wetland di Putrajaya ialah Burung Pucung Seriap, Pucung Ungu, Bangau Kerbau, Bangau Kecil, Pucung Kuak dan Burung Pucung Kuning.



Itulah antara spesis yang dapat dilihat oleh pengunjung jika berkunjung ke kawasan Upper Bisa Wetland dengan menggunakan basikal yang disediakan di Dataran Putra, Putrajaya.

Tourism Malaysia giat mempromosikan kawasan ini sebagai satu-satunya lokasi pembiakan burung hijrah di Putrajaya untuk menjadi destinasi pelancongan dengan cara berbasikal.

Daripada Dataran Putra, jarak kawasan Upper Bisa Wetland ini hanya kira-kira 4.2 kilometer sahaja.

Sejak Januari 2013, satu spesis baru dikesan berada di Upper Bisa Wetland iaitu Burung Upeh Paruh Terbuka Asia dilihat berhijrah ke situ namun belum ada aktiviti bersarang dikesan ditinggalkan spesis burung berkenaan.

Minggu lepas, peserta Persidangan Pengarah-Penagarah Pelancongan Tourism Malaysia 2013 berpeluang berbasikal dan menikmati keindahan burung-burung di kawasan itu yang jarang terdapat di lokasi berhampiran dengan ibu negara.

Oleh : IBNU KHUSAIRY ARIS

Tidak ada komentar:

Posting Komentar